Wednesday, April 29, 2009

BENGKEL JEJAK MAKLUMAT GPM

Pada 28, 29 dan 30 April 2009, telah berlangsungnya Bengkel Jejak Maklumat anjuran Pusat Kegiatan Guru Batu Kurau. Bengkel tersebut yang diadakan di PKG Batu Kurau selama 3 hari adalah untuk memberi pendedahan kepada Guru - Guru Perpustakaan dan Media ( GPM ) cara - cara penyediaan dan pelaksanaan aktiviti Jejak Maklumat kepada murid - murid sekolah. Aktiviti Jejak Maklumat ini boleh dikatakan menyerupai seperti `Explore Race'. Terdapat tugasan - tugasan yang perlu dilakukan oleh murid di setiap stesyen perhentian. Namun, Jejak Maklumat ini lebih menekankan kepada menjejaki maklumat dan pencarian ilmu. Ini adalah salah satu program untuk menarik minat murid datang ke Pusat Sumber.

Bengkel Jejak Maklumat ini telah disampaikan oleh Penyelaras PKG Simpang iaitu Pn Azatus Sakhia Bt Shakir Mashkor. Seramai 21 orang GPM telah hadir dalam bengkel tersebut dari zon Batu Kurau. Pada hari pertama dan kedua adalah pendedahan cara melaksanakan aktiviti tersebut dan penyediaan bahan untuk aktiviti Jejak Maklumat. Maka pada hari ketiga adalah pelaksanaan aktiviti tersebut. Seramai 35 orang murid tahun 5 dari SK Toh Sajak telah dipilh untuk aktiviti tersebut. Murid - murid amat gembira melakukan aktiviti Jejak Maklumat. Banyak pengalaman baru yang mereka alami. Selepas dari bengkel ini, guru - guru GPM akan mengadakan Aktiviti Jejak Maklumat ini di sekolah masing - masing.

GAMBAR - GAMBAR :
( Klik pada gambar untuk besarkan )

GPM sedang mendengar taklimat Bengkel Jejak Maklumat

GPM sedang berbincang dalam kumpulan masing - masing



Saturday, April 25, 2009

KEJOHANAN SUKAN TAHUNAN SK JELAI 2009 KALI YANG KE 24 MERIAH

Pada 25 April 2009, telah berlangsungnya Kejohanan Sukan Tahunan SK Jelai 2009 kali yang ke 24 dengan penuh kemeriahan. Cuaca yang amat baik pada hari ini menambahkan lagi keceriaan dalam sukan kali ini di mana para hadirin telah datang lebih awal dan lebih ramai jika dibandingkan pada tahun - tahun sebelumnya. Acara sukan yang bermula pada pukul 8.30 pagi didahului dengan perbarisan kawad kaki dari kontinjen - kontinjen rumah - rumah sukan. Tambah meriah dengan kehadiran Pasukan Tambur dari Unit Tambur SMK St George, Taiping yang mengiringi perbarisan tersebut.

Perasmian Kejohanan Sukan Tahunan SK Jelai 2009 kali ini telah disempurnakan oleh Yang Di Pertua Persatuan Ibubapa dan guru ( YDP PIBG ) Sk Jelai iaitu En Md Isa Bin Taha. Sebelum daripada itu adalah ucapan daripada Guru Besar SK Jelai, Pn Hjh Roohaya Bt Osman. Selepas itu, bacaan Ikrar Sukan telah dibaca oleh adik `Irfaan Fikri Bin Hj Abdul Rahman.

Sekali lagi Pasukan Tambur SMK St George, Taiping membuat persembahan mereka yang julung - julung kalinya diadakan di SK Jelai dan di Batu Kurau. Selepas daripada itu, barulah acara pertandingan sukan dijalankan. Semua acara sebanyak 25 acara yang dipertandingkan pada hari ini dapat diselesaikan. Begitu juga dengan penyampaian hadiah.

Di antara acara - acara dan pertandingan sampingan yang diadakan pada hari sukan kali ini adalah Sukaneka Prasekolah, Tahun 1,2 dan 3. acara kaum remaja iaitu Lumba Lari, acara kaum ibu, Rebut Kerusi dan kemuncaknya adalah acara kaum bapa iaitu acara Tarik Tali. Semua acara dan penyampaian hadiah dapat diselesaikan pada pukul 1.30 petang dimana Guru Besar mengumumkan bahawa hari Isnin ( 27 April 2009 ) adalah hari cuti. SEMOGA JUMPA LAGI DI TAHUN HADAPAN DENGAN LEBIH MERIAH LAGI...

( KEPUTUSAN PENUH AKAN DILAMPIRKAN PADA POST YANG AKAN DATANG )

GAMBAR - GAMBAR :
( Klik pada gambar untuk besarkan )

- ada lagi gambar, tak update lagi. Insya Allah sedang diusahakan.


Friday, April 24, 2009

PERKHEMAHAN PUTERI ISLAM PERINGKAT DAERAH LARUT, MATANG & SELAMA

Pada 24, 25 & 26 April 2009, Perkhemahan Puteri Islam Peringkat Daerah Larut, Matang & Selama telah diadakan di Caravan Park, Taiping. 2 orang murid dari SK Jelai telah menyertai perkhemahan tersebut. Mereka adalah Nur Azwa Bt Mat Azan dan Nor Syirain Bt Awang Hussin. Guru Pengiring yang telah membawa mereka adalah Pn Nor Faieza Bt Mohd Fazli.

Nur Azwa dan Nor Syirain membuat persediaan sebelum menyertai perkhemahan

PERKHEMAHAN ANUGERAH RAMBU PERINGKAT NEGERI PERAK


Pada 24, 25 & 26 April 2009, 4 orang murid SK Jelai telah menyertai Perkhemahan Anugerah Rambu Peringkat Negeri Perak yang diadakan di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan. Perkhemahan tersebut diadakan selama 3 hari bermula hari ini. 4 orang murid yang menyertai perkhemahan tersebut ialah Muhammad Hanif Bin Aillias, Muhammad Lutfil Hadi Bin Umar, Ainul Syazwani Bt Azlan dan Siti Nurul Ain Bt Abdullah. Guru yang telah mengiringi mereka adalah En Mohd Rohaizad Bin Mohd Kher.

Guru Besar SK Jelai, Pn Hjh Roohaya Bt Osman sedang memberi nasihat kepada peserta perkhemahan


Thursday, April 23, 2009

TAKLIMAT DAN BENGKEL PENGURUSAN STOK PUSAT SUMBER SEKOLAH

Pada 23 April 2009, Pusat Kegiatan Guru ( PKG ) Batu Kurau telah mengadakan satu Taklimat Dan Bengkel Pengurusan Stok Pusat Sumber Sekolah. Seramai 25 orang GPM dari Zon Batu Kurau telah menghadiri bengkel tersebut yang diadakan di Bilik Pelangi, PKG Batu Kurau. Taklimat yang diadakan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dari kalangan GPM mengenai pentingnya pengurusan stok Pusat Sumber di sekolah. Ini adalah kerana semua bahan media yang ada di sekolah adalah di bawah jagaan GPM dan mesti dimasukkan ke dalam stok PSS.

Taklimat Pengurusan Stok telah disampaikan oleh penceramah jemputan dari SK Sg Bayor, Selama, Perak iaitu Pn Fauziah Bt Harun. Kemudian, diadakan bengkel membuat Pemilihan Bahan Buku mengikut kumpulan masing - masing. Setelah itu disambung pula dengan Taklimat Pengurusan Fail oleh Penyelaras PKG Batu Kurau, iaitu Pn Khairiyah Chik Bt Major Mohamad Khalid. Taklimat tersebut telah berakhir pada jam 2.00 ptg.

GAMBAR - GAMBAR :

Guru - guru GPM sedang mendengar Taklimat Pengurusan Stok

Pn Khairiyah sedang menyampaikan Taklimat Pengurusan Fail

Guru - guru GPM lelaki zon Batu Kurau. Walaupun sedikit, namun tidak menghalang semangat juang untuk berjaya dalam bidang PSS yang dipelopori oleh kaum wanita.

Guru GPM dari SMK Redang Panjang dan SK Jelai


Tuesday, April 21, 2009

BAHANG SUKAN TAHUNAN MAKIN TERASA

Bahang Sukan Tahunan SK Jelai makin dekat terasa. Itulah gambaran yang boleh diungkapkan kerana buat masa ini, semua warga SK Jelai sedang sibuk membuat persiapan untuk Sukan Tahunan SK Jelai kali yang ke 24 yang akan berlangsung pada 25 April 2009 ini.

Selama 3 minggu acara saringan telah diadakan pada waktu petang, selepas tamat persekolahan waktu pagi. Ini adalah kerana sebanyak 61 acara yang dipertandingkan, hanya 25 acara sahaja yang akan berlangsung pada hari sukan nanti. Lagi pun acara saringan tidak dapat dijalankan setiap hari memandangkan musim sekarang adalah musim hujan. Bila hujan, acara saringan tidak dapat dijalankan dan ditangguh pada hari yang lain. Walau bagaimanapun, hasil usaha gigih para guru - guru SK Jelai, acara saringan telah berjaya dijalankan dengan jayanya walaupun terpaksa datang pada waktu petang.

GAMBAR - GAMBAR :
( Klik pada gambar untuk besarkan )

Guru - guru sedang bertugas

Atlit -atlit SK Jelai sedang beraksi

Acara lompat tinggi lelaki & perempuan

Aksi - aksi `stunt' atlit - atlit SK Jelai

Latihan Sukaneka juga dijalankan


KARNIVAL PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH ZON BATU KURAU 2009


Pada 21 April 2009, KARNIVAL PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH ZON BATU KURAU 2009 telah diadakan di SK Kg Perak, Batu Kurau. SK Jelai telah menyertai dalam pertandingan sajak oleh adik `Amirah Bt Zainal Abidin dari Tahun 6 USM dan telah mendapat Naib Johan. Di antara guru - guru yang telah melatih dan mengiringi murid tersebut ialah Pn Ku Salleha Bt Ku Hamid dan Pn Rosazlina Bt Abdul Aziz. SYABAS DAN TAHNIAH DIUCAPKAN.

Tuesday, April 14, 2009

PERTANDINGAN BERCERITA DAN PIDATO ZON BATU KURAU

Pada 1 April 2009 yang lalu, telah diadakan PERTANDINGAN BERCERITA DAN PIDATO PERINGKAT ZON BATU KURAU. Pertandingan tersebut telah diadakan di SK Hj Wan Jaafar, Batu Kurau. SK Jelai telah menghantar 3 orang menyertai pertandingan tersebut. Mereka ialah Kavitha A/P Tanggayah ( Bercerita Tahap 1 ), Nurul Jannah Bt Arshad ( Bercerita Tahap 2 ) dan Mohd `Irfaan Fikri Bin Abdul Rahman ( Pidato ). SK Jelai telah mendapat tempat ke - 3 dalam acara Bercerita Tahap 2. TAHNIAH DAN SYABAS DIUCAPKAN.

Monday, April 13, 2009

CIKGU HASNAN MENIMANG CAHAYAMATA KETIGA

TAHNIAH diucapkan kepada En Hasnan Bin Hassan, guru SK Jelai yang baru menimang cahaya matanya yang ketiga pada 7 April 2009 yang lalu. En Hasnan dan isteri beliau, Pn Noor Maizura Bt Khamis @ Kamaruddin juga seorang guru di SK Sg Ara, Batu Kurau telah dikurniakan 2 cahaya mata sebelum ini yang bernama MUHAMMAD FAIZ dan MUHAMMAD ALIF HASANI dan ini adalah yang ketiga, semuanya lelaki. Beliau yang baru mula bertugas hari ini setelah bercuti selama seminggu, nampak ceria dan gembira. Bila ditanya apakah nama anaknya yang baru ini, beliau menjawab MUHAMMAD HAFIY HAQEM. Semoga keluarga beliau akan lebih ceria dengan kehadiran `orang baru' dalam hidup mereka. AMIN.

KURSUS LDP EDUWEBTV

Kursus EDUWEBTV telah diadakan selama 2 hari bermula hari ini. Semua guru termasuk Guru Besar, Pn Hjh Roohaya Bt Osman, Penolong Kanan 1, Pn Hjh Hamidah Bt Shaari dan Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum, En Nop A/L Endin Lean turut hadir dalam kursus tersebut. Kursus ini diadakan bagi menyahut seruan Kementerian Pelajaran Malaysia bahawa Kursus EDUWEBTV ini mesti dilaksanakan di semua sekolah di seluruh Malaysia untuk pendedahan kepada semua guru bagi menggunakan EDUWEBTV ini dalam Pengajaran & Pembelajaran di sekolah.

Kursus yang diadakan selama 2 hari ini diadakan pada waktu petang iaitu bermula pada pukul 2.00 petang sehingga 5.30 petang ( 3 jam ). Esok juga pada masa yang sama selama 3 jam, menjadikannya 6 jam semuanya, syarat untuk 1 kursus penuh bagi guru - guru mengisi ke dalam kad biru. Semua guru wajib memenuhkan kad tersebut untuk mencukupkan 7 kursus bagi seorang guru dalam setahun.

Kursus tersebut telah disampaikan oleh Guru Media iaitu Ustaz Mohd Yusfee Bin Mohamed Yusof merangkap Penyelaras Pusat Sumber SK Jelai. Beliau telah menghadiri kursus EDUWEBTV peringkat zon Batu Kurau di SK Batu Kurau pada 18 & 19 Februari 2009 yang lalu.

GAMBAR - GAMBAR :

Suasana semasa kursus EDUWEBTV

Ustaz Mohd Yusfee sedang menyampaikan ceramah EDUWEBTV

Di antara guru - guru yang hadir dalam kursus EDUWEBTV

Para guru sedang khusyuk mendengar penerangan mengenai EDUWEBTV

AMBOI...SUKANYA CIKGU NOR FAIEZA !

Di antara guru - guru yang banyak ilmu...Cikgu Mohd Daud dan Ustaz Ahmad Rahim