Sunday, November 15, 2009

HARI ANUGERAH CEMERLANG SK JELAI 2009 PENUH GILANG GEMILANG

Pada 14 November 2009 ( Sabtu ), telah berlangsungnya Majlis Hari Anugerah Cemerlang Peringkat Sekolah Kebangsaan Jelai Tahun 2009 dengan penuh gilang gemilang. Ketibaan wakil PPD iaitu Tuan Haji Zamani Bin Abu Bakar, Penyelia Sukan Pejabat Pendidikan Daerah Larut , Matang Dan Selama telah disambut dengan paluan kompang. Seterusnya semua hadirin telah menyanyikan lagu Negaraku.

Turut hadir dalam majlis ini ialah En. Zainal Abidin Bin Kassim, NYDP PIBG SK Jelai, En. Zamri Bin Yakin, Guru Besar SK Toh Sajak, Tuan Haji Salleh, Guru Besar SK Batu Kurau, Guru - guru Muda dari SERATAS seramai 4 orang, ibu bapa murid dan para hadirin di kalangan orang - orang kampung dan bekas murid - murid sekolah ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Tuan Haji Ahmad Rahim Bin Haji Ahmad, GPI SK Jelai, kemudian Ucapan wakil YDP PIBG iaitu NYDP PIBG, En. Zainal Abidin Bin Kassim. Selepas itu, ucapan Guru Besar SK Jelai, Puan Hajjah Roohaya Bt Osman dan seterusnya ucapan perasmian disempurnakan oleh
Tuan Haji Zamani Bin Abu Bakar, Penyelia Sukan Pejabat Pendidikan Daerah Larut , Matang Dan Selama.

Selepas itu, majlis berhenti rehat seketika dan disambung semula Majlis Hari Anugerah dengan persembahan tarian dan nyanyian daripada murid - murid Pra Sekolah, Tarian Kain Songket oleh murid - murid Tahun 3 & 4, Sketsa Di Hari Raya dan nyanyian oleh murid - murid Tahun 6 dan koir oleh murid - murid Tahun 5.

Persembahan tersebut telah diselang selikan dengan upacara penyampaian hadiah dan sijil kepada murid - murid yang telah berjaya di dalam peperiksaan yang lalu dan kejayaan murid dalam bidang - bidang yang telah ditetapkan.

Majlis tersebut telah tamat pada jam 12 tengahari.


PERKHEMAHAN IBADAH KECEMERLANGAN INSAN RABBANI ( PIKIR ) 2009

Pada 13 & 14 November 2009, seramai 6 orang murid SK Jelai telah menyertai Perkhemahan Ibadah Kecemerlangan Insan Rabbani ( PIKIR ) Zon Batu Kurau 2009 bertempat di SK Pantai Besar, Batu Kurau, Perak. Seramai 82 orang murid dari zon Batu Kurau telah menyertai perkhemahan ini. Pada tahun ini perkhemahan PIKIR hanya diadakan selama 2 hari 1 malam sahaja, tidak seperti tahun - tahun lalu yang diadakan selama 3 hari 2 malam. Ini adalah kerana kesempitan waktu dan masa yang mana terlalu banyak program - program dijalankan di sekolah - sekolah pada masa ini.

Menurut Kem Komandan perkhemahan ini, iaitu Ustaz Toreq Bin Zainordin, pada asalnya penyertaan murid adalah seramai 100 orang, tetapi hanya 82 orang sahaja yang mendaftar. Guru - guru Agama Zon Batu Kurau pula tidak semua yang dapat memberikan komitmen yang sepenuhnya kerana terpaksa bertugas di sekolah masing - masing dengan acara - acara sekolah. Walau bagaimanapun, tenaga penggerak perkhemahan ini telah mencukupi untuk pembahagian tugas - tugas.

Pada hari yang kedua, perkhemahan ini telah tamat pada jam 6.00 petang setelah Majlis Penutupan disempurnakan oleh Ustaz Muhammad Bin Abdullah, Pegawai Khas Pendidikan Islam Dan Moral.


MAJLIS KHATAM QURAN PERINGKAT LMS 2009

Pada 12 November 2009 ( Khamis ),Majlis Khatam Quran Peringkat Daerah Larut, Matang Dan Selama 2009 telah diadakan di SK (P) Treacher Methodist, Taiping. Seramai 4 orang murid dari SK Jelai telah terpilih untuk menyertai majlis tersebut.

Mereka telah diiringi oleh guru pengiring iaitu Ustazah Tina Bt. Zainuddin, GPI SK Jelai.