Saturday, October 31, 2009

PERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM SK JELAI 2009 BERJALAN LANCAR

Pada 30 & 31 Oktober 2009, Perkhemahan Unit Beruniform Peringkat SK Jelai telah berjalan dengan lancar sepertimana yang telah dirancang. Perkhemahan Unit Beruniform pada kali ini juga menampakkan kemampuan PK KOKO yang baru iaitu En. Sudirman Bin Abdul Ghani sebagai penyelaras dan Kem Komandan untuk perkhemahan yang pertama kali bagi beliau di sekolah ini.

Menurut En. Sudirman, walaupun beliau masih baru di sekolah ini, namun kerjasama yang diberikan oleh semua guru - guru di sekolah ini telah melancarkan perjalanan perkhemahan pada kali ini. Beliau amat berterima kasih kepada semua yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan perkhemahan pada kali ini.

Pada kali ini seramai 100 orang murid telah menyertai perkhemahan yang melibatkan murid - murid dari tahun 4, 5 dan 6. Di antara aktiviti - aktiviti yang telah dijalankan adalah memasang dan menghias khemah, malam kebudayaan yang sungguh meriah. Malam kebudayaan juga telah menonjolkan pengacara baru yang berbakat iaitu Cikgu Fathi. Selain daripada persembahan kumpulan yang merupakan lakonan dan nyanyian, terdapat juga acara baru yang diperkenalkan iaitu pakaian beragam.

Pada hari kedua, selepas solat subuh berjamaah, diadakan senaman pagi. Selepas itu, acara yang menjadi kegemaran murid - murid SK Jelai iaitu acara ekspedisi yang melalui jalan Kampung Air Itam. Berjalan merentasi hutan dan sungai amat menyeronokkan murid - murid, juga laluan berhalangan yang sungguh mencabar. Bagi murid yang tidak mengikuti ekspedisi, setiap unit seramai 5 orang telah menjalankan aktiviti memasak.

Pada akhir aktiviti pula diadakan pertandingan kawad bagi 4 unit beruniform seperti Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Puteri Islam dan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS). Pada majlis penutupan, Guru Besar telah memberi ucapan ringkas dan seterusnya merasmikan upacara penutup Perkhemahan Unit Beruniform 2009. Acara tamat pada jam 2.30 petang.

KEPUTUSAN UNIT TERBAIK PADA PERKHEMAHAN KALI INI :


  1. PUTERI ISLAM
  2. TKRS
  3. PENGAKAP
  4. PBSM
TAHNIAH KEPADA PUTERI ISLAM YANG TELAH BERJAYA MENDAPAT UNIT TERBAIK PADA PERKHEMAHAN KALI INI.

SEMOGA BERJUMPA LAGI DI TAHUN 2010