Thursday, July 30, 2009

LAWATAN PRA SEKOLAH KE NEGERI PERLIS INDERA KAYANGAN MELIHAT KEINDAHAN CIPTAAN ALLAH

Pada 29 Julai 2009 adalah tarikh bagi lawatan Pra Sekolah ke Negeri Perlis Indera Kayangan. Perancangan yang telah dibuat beberapa bulan yang lalu akhirnya menjadi kenyataan bagi murid - murid Pra Sekolah yang tidak sabar - sabar ingin pergi rombongan. Menurut ketua rombongan yang juga guru Pra Sekolah SK Jelai, iaitu Pn. Maznah Bt. Mat Saari, rombongan kali ini amat bermakna bagi murid - murid Pra Sekolah kerana Guru Besar juga turut menyertai rombongan ini. Selain Guru Besar, seramai 6 orang guru dan seorang pembantu Pra turut sama menyertai rombongan ini.

Guru - guru tersebut adalah Pn. Maznah Bt. Mat Saari ( guru Pra Sekolah ), Pn. Ku Salleha Bt. Ku Hamid, Pn. Hjh. Rostina Bt. Mat Zom, Pn. Hjh. Tina Bt. Zainuddin, Pn. Rosazlina Mastura Bt. Abdul Aziz, Cik Anaton Bt. Mohamed Di ( pembantu Pra Sekolah ) dan BLOGGER turut sama dalam rombongan ini untuk menyingkap panorama dan keindahan negeri Perlis melalui rakaman kamera digitalnya.

Lawatan kami ke Perlis kali ini sungguh mengagumkan dan amat terpesona dengan keindahan flora dan fauna ciptaan Allah Subhanahu Wa Taala.

RENTETAN PERJALANAN DAN TEMPAT - TEMPAT YANG DILAWATI :

  • 7.00 pagi - Bertolak dari SK Jelai.
  • 9.00 pagi - Singgah sarapan pagi di Perhentian Gurun.
  • 11.00 pagi - Melawat MUZIUM PADI di Negeri Kedah Darulaman yang terdapat lukisan pemandangan suasana di Negeri Kedah yang sungguh cantik dan realistik yang dilukis oleh pelukis - pelukis dari Itali.
  • 1.00 petang - Melawat LADANG ANGGUR di Negeri Perlis.
  • 1.30 petang - Melawat TAMAN ULAR di Sungai Batu Pahat, Perlis yang mempunyai berbagai jenis ular di seluruh dunia.
  • 2.00 petang - Makan tengahari ( buffet ) di EAGLE PARK RESORT yang ditaja oleh Perbadanan Pelancongan Negeri Perlis. Taklimat mengenai Negeri Perlis disampaikan oleh En. Rohani Bin Rahmani ( Uncle Ronn ) - orang jati Negeri Perlis yang banyak pengalaman menjelajah negara luar. Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Perlis, Pn. Norashikin turut sama menyambut kedatangan kami dan menyampaikan cenderahati untuk sekolah iaitu sebuah buku yang bertajuk `Malaysia My Destination'.
  • 3.30 petang - perjalanan diteruskan melawat GUA KELAM yang banyak menyimpan sejarah sehingga berjuta - juta tahun lamanya. Keunikan GUA KELAM sungguh mengagumkan dan terpesona dengan ciptaan Allah yang begitu rupa.
  • 5.30 petang - perjalanan diteruskan lagi dengan mengunjungi PADANG BESAR untuk membeli - belah setelah penat melawat.
SAKSIKAN GAMBAR - GAMBAR YANG SEMPAT DIRAKAM OLEH BLOGGER :


Wednesday, July 29, 2009

PROGRAM MERAPATKAN JURANG KEMISKINAN DIGITAL NEGERI PERAK

Selama 2 hari iaitu pada 25 dan 26 Julai 2009, satu Program Merapatkan Jurang Kemiskinan Digital Negeri Perak telah diadakan di SK Jelai. Program ini adalah anjuran KPERAK INC CORP yang dikendalikan oleh TERAJU TECHNO. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada ibubapa murid, murid - murid dan juga penduduk kampung mengenai asas - asas dan pengenalan kepada komputer.

Sebanyak 18 biji komputer telah disediakan yang melibatkan 2 buah kelas. Program ini telah bermula dari jam 8.00 pagi hingga jam 4.00 petang yang dikendalikan oleh 6 orang tenaga pengajar.

Pada hari yang pertama, jam 4.00 petang, upacara perasmian telah diadakan dan dirasmikan oleh YB Kapt. (B) Najmuddin Bin Alias yang telah menyampaikan sijil kepada para peserta.

PEMERIKSAAN GIGI OLEH KLINIK KESIHATAN BATU KURAU

Bermula 27 Julai 2009 hingga 5 Ogos 2009, Klinik Kesihatan Daerah Batu Kurau telah mengunjungi SK Jelai untuk rutin pemeriksaan gigi murid - murid SK Jelai. Kelas 1 USM telah digunakan untuk tujuan tersebut. murid - murid 1 USM telah dipindahkan ke Pusat Sumber ( sebagai penduduk sementara ).

Usaha Kementerian Kesihatan untuk menjaga tahap kesihatan murid - murid di sekolah - sekolah patut dipuji terutamanya di sekolah - sekolah kampung yang tahap kesihatan murid - murid kampung perlu diberi perhatian yang sewajarnya.

Monday, July 27, 2009

KURSUS ICTL KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Seorang guru dari SK Jelai, iaitu En. Mohd. Rohaizad Bin Mohd. Kher telah terpilih sebagai Jurulatih Utama ( JU ) untuk Kursus ICTL melatih guru - guru Bahasa Inggeris Daerah Larut Matang Dan Selama. Selain beliau, guru - guru yang terlibat sebagai JU adalah En. Yusri dari SK Kampong Yaman dan ramai lagi. Kursus ini yang telah bermula dari 21 Julai 2009 hinggalah 15 Ogos 2009 adalah untuk melatih guru - guru BI sebagai persediaan mengajar ICTL bagi murid tahap 1.

Kursus tersebut telah diadakan di beberapa buah lokasi seperti di SK King Edward VII ( 1 ), SK Taman Panglima dan di Pulau Pangkor. Kursus ICTL ini dihadiri oleh 25 orang guru pada satu ambilan. Terdapat 7 ambilan disepanjang kursus ini yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah Unit ICT.

Monday, July 20, 2009

KURSUS LDP PROGRAM PENINGKATAN KUALITI GURU

Pada 18 Julai 2009, Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan ( LDP ) yang bertajuk Peningkatan Kualiti Guru telah diadakan di Makmal Komputer SK Jelai. Kursus yang bermula pada pukul 8.30 pagi itu telah disampaikan oleh seorang penceramah jemputan iaitu Tuan Haji Ibrahim Bin Ahmad, AMN, PJK dari Ipoh.

Di antara tajuk - tajuk yang telah disampaikan oleh Tuan Haji Ibrahim ialah Peranan Dan Tanggungjawab seorang Insan, Sistem Nilai Dan Gaya Hidup Anak - anak Dan Remaja Masa Kini dan Ciri - ciri Dan Kualiti Kepimpinan. Kursus LDP tersebut telah berakhir pada jam 2.00 petang.

DI SEBALIK PERISTIWA ISRA` DAN MIKRAJ

27 Rejab : Peristiwa Isra' Mikraj, adakah kita semua mengambil pengajarannya?

Tanggal 27 Rejab, umat Islam seluruh dunia pastinya akan meningati suatu peristiwa agung yang tercatat di dalam al-Quran, Isra' Mikraj. Israk maknanya perjalanan Nabi Muhammad saw dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis. Sementara Mikraj pula ialah perjalanan Nabi dari Masjidil Aqsa ke sidradul Muntaha di lapisan langit yang ketujuh. Firman Allah bermaksud:

Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya (dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya), agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra’, ayat 1)

Dalam peristiwa agung ini, Allah SWT telah memeperjalankan hambanya, Nabi Muhammad saw pada malam hari setelah baginda merasa terlalu sedih dengan hinaan dan cacian dalam menyampaikan dakwah Islamiah di Tanah Arab. Oleh itu saudara semua, jika ada isteri, anak-anak, ataupun ahli keluarga yang sedih, maka hendaklah kita membawanya keluar bersiar-siar. Mudah-mudahan kesedihannya itu hilang.

Dalam perjalanan tersebut, nabi kita telah diperlihatkan pelbagai peristiwa yang bakal terjadi dan akibatnya daripada perbuatan manusia di dunia ini. Banyak pengajaran yang dapat kita ambil buat pedoman daripada peristiwa ini.

Apa yang paling utama dalam peristiwa ini ialah Nabi Muhammad telah menerima sendiri tuntutan solat 5 waktu sehari semalam. Alangkah malangnya bagi kita yang tidak kalah menyambut Isra' Mikraj tetapi solat kita entah kemana. Ada sesetengah tempat diadakan majlis ceramah Isra' Mikraj, namun kita tidak pernah menginsafi akan pengajarannya. Kita hanya hadir kerana ada jamuan cendol, nasi dagang, nasi minyak,dan paling kurang pun karipap. Namun solat kita entah kemana.

Maka, tidak ada ertinya di sesebuah tempat mengishtiharkan 27 Rejab sebagai cuti umum namun masyarakatnya tidak mengendahkan hal solat. Masyarakat kita semakin mudah meninggalkan solat. Apa erti Isra' Mikraj? Tidak ada maknanya langsung!!!

Majlis-majlis sambutan Isra' Mikraj dibuat di serata masjid, surau-surau. Para penceramah menceritakan satu persatu peristiwa yang dialami oleh Nabi Muhammad saw. Namun, saban tahun, cerita itulah yang dibaca, kisah itulah yang diterjemahkan. Tetapi masyarakat kita tetap tidak berubah. Malah semakin ramai yang tidak bersolat. Apa nak jadi ?. Bila dah besar panjang, nak kahwin, nak ada anak, tetapi kita sebagai suami, sebagai ayah, solat pun tak cukup. Lebih malang lagi, isteri / ibu itu pun tak bersolat juga. Jadi macam mana hendak mendidik anak-anak ? Sebab itulah anak - anak lahir dan memebesar dalam keadaan yang tidak mengenal agama.

Harus diingat para ibu bapa, jangan ingat kita telah terlepas tanggungjawab setelah kita menghantar anak-anak ke sekolah sahaja. Sedangkan kita sendiri tidak pernah mengambil tahu hal anak-anak kita terutama dalam hal solat. Kebanyakan ibubapa hari ini macam tu lah. Melepaskan tanggungjawab kepada cikgu - cikgu di sekolah. Jangan merasa sedap hati ye.

Apapun kita sebagai umat Islam, haruslah memperingati akan peristwa agung ini. Ambillah seberapa banyak pengajaran dan tauladan daripada peristiwa ini. Jangan ada lagi generasi kita yang tidak menunaikan solat. Jangan ada lagi generasi kita yang tidak tahu untuk bersolat 5 waktu sehari semalam. Perbaiki solat kita, perelokkan mutu solat kita kian hari. Kepada ibu bapa sekalian, ingatlah jika anak-anak kita tidak solat, kita akan dipertangungjawabkan nanti. Oleh itu, didiklah anak kita bersolat ketika mereka masih kecil. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

WASSALAM


Sunday, July 19, 2009

JEMPUTAN KE MAJLIS HARI ANUGERAH CEMERLANG SERATAS KALI KE - 26


Pada 18 Julai 2009, seramai 8 orang murid Tahun 6, bersama 2 orang guru pengiring dari SK Jelai telah mengunjungi Sekolah Menengah Raja Tun Azlan Shah ( SERATAS ), Taiping sempena Majlis Anugerah Cemerlang SERATAS kali ke - 26. 2 orang guru yang telah mengiringi murid - murid tersebut ialah En. Izhar Bin Brahim dan En. Hasnan Bin Hassan. Manakala murid - murid yang telah terpilih ke SERATAS ialah Nur `Aqilah Ajmal Bt Jamaluddin, Nurfarahanim Bt Abdul Razak, Soffe Syauqina Bt Hamzah, `Amirah Bt Zainal Abidin, Nabilah Bt Mohd. Pazil, Nur Azwa Bt Mat Azan, Hanif Bin Aillias dan Lutfi Hadi Bin Umar.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Sultan Azlan Shah dan Permaisuri Tuanku Bainun. Ucapan aluan telah disampaikan oleh Puan Rahimah Bt Sura iaitu Pengetua Cemerlang SERATAS. Diikuti pula dengan ucapan perasmian oleh Sultan Azlan Shah. Sultan Azlan Shah juga turut berkenan merasmikan pelancaran buku ` Young Inventors ' yang telah dihasilkan oleh pelajar - pelajar SERATAS. Seterusnya majlis penyampaian Anugerah Cemerlang dan lawatan pameran pelajar - pelajar SERATAS.

Setelah tamat majlis tersebut, mereka sempat singgah ke rumah saya di Taman Desa Jana 2A, Kamunting sempena majlis pertunangan adik ipar saya pada pukul 12.30 tengahari. Ramai juga guru - guru dari SK Jelai yang hadir pada majlis tersebut.

Di kesempatan ini juga, saya ingin menjemput semua guru - guru SK Jelai ke majlis perkahwinan adik ipar saya, Noorulhuda Bt Kasimullah dengan pasangan beliau, Norhisyam Bin Shamsuddin pada 28 November 2009 nanti.


WANG KERTAS RM 50 BARU


KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) mulai semalam mengeluarkan wang kertas RM50 reka bentuk baru yang menggabungkan pelbagai ciri keselamatan moden dan inovatif dengan tujuan utama untuk menghalang cubaan pemalsuan.

BNM dalam kenyataannya semalam menjelaskan, ia akan menggantikan wang kertas RM50 sedia ada secara berperingkat-peringkat.

BNM setakat ini belum menetapkan tempoh wang kertas RM50 sedia ada dihentikan pengeluarannya, namun ia tetap sah diperlakukan bersama-sama dengan wang kertas baru ini.

Menurutnya, wang kertas baru RM50 itu sebelum ini dikeluarkan pada Disember 2007 bersempena dengan Ulang Tahun Ke-50 Kemerdekaan Malaysia.

Namun siri baru ini tidak lagi mempunyai logo sambutan jubli emas kemerdekaan negara.


Wednesday, July 15, 2009

BETULKAN QIBLAT KITA HARI INI ( 16 JULAI 2009 )


Umat Islam di negara ini boleh menyemak kedudukan arah kiblat dari kediaman atau lebih tepat dari ruang solat masing-masing, pada hari ini pukul 5.28 petang.
Timbalan Pengarah, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Omar Said berkata, arah kiblat boleh disemak pada hari dan masa berkenaan dengan berasaskan cara tradisional iaitu dengan melihat arah matahari tenggelam.
Katanya, pada hari dan masa tersebut kedudukan matahari berada betul-betul di atas Kaabah di Mekah yang menjadi kiblat umat Islam.
“Kealpaan umat Islam menentukan arah kiblat dengan tepat boleh menyebabkan arah kiblat mereka tersasar sehingga beberapa kilometer jauhnya,” katanya ketika berucap merasmikan kursus lanjutan Falak (Qiblat) peringkat negeri, di sini hari ini.
Menurut Omar, perubahan satu darjah sahaja boleh mengakibatkan arah kiblat tersasar sehingga sejauh 128 kilometer.
- BERNAMA

PEPERIKSAAN PERCUBAAN UPSR 2009 MENGUJI TAHAP PENCAPAIAN MURID TAHUN 6


Selama 3 hari, bermula pada 14, 15 dan 16 Julai 2009, telah berlangsungnya PEPERIKSAAN PERCUBAAN UPSR 2009 yang akan menguji tahap kemampuan murid - murid Tahun 6 SK Jelai sebelum menghadapi peperiksaan UPSR yang sebenar. Keputusan peperiksaan akan diketahui tidak lama lagi.

Monday, July 13, 2009

PENYAMPAIAN MEDAL DAN SIJIL KEPADA PESILAT OLEH GURU BESAR

Pada perhimpunan pagi hari ini bertarikh 13 Julai 2009, telah diadakan Majlis Penyampaian Medal Dan Sijil kepada 2 orang pesilat SK Jelai yang telah berjaya mendapat naib johan dalam acara Seni Tari Silat Puteri Sekolah Rendah dan Seni Tempur Berpasangan Sekolah Rendah. Mereka ialah adik Qatrulnada Bt Kholid dan adik Nurfarahanim Bt Abdul Razak. Penyampaian medal dan sijil telah dilakukan oleh Guru Besar SK Jelai, Pn. Hjh. Roohaya Bt Osman.

PELANCARAN BULAN KECERGASAN PERINGKAT SK JELAI 2009


Pada 13 Julai 2009, telah diadakan PELANCARAN BULAN KECERGASAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA Peringkat Sekolah Kebangsaan Jelai tahun 2009 oleh Guru Besar, Pn. Hjh. Roohaya Bt Osman di perhimpunan pagi hari ini. Semua guru dan murid telah mendengar petikan ucapan Pelancaran Bulan Kecergasan oleh Guru Besar. Pada ucapan Guru Besar, beliau amat menekankan tahap kesihatan murid dan kepentingan penjagaan kesihatan seluruh warga sekolah ini. Menurut beliau, tambahan pula pada masa ini penularan penyakit H1N1 di tahap kritikal.




Sunday, July 12, 2009

PERISTIWA BERGAMBAR SEPANJANG BULAN JUN 2009

PERISTIWA BERGAMBAR SEPANJANG BULAN MEI 2009

PERISTIWA BERGAMBAR SEPANJANG BULAN APRIL 2009

BENGKEL TEKNIK MENJAWAB MATEMATIK UPSR

Pada 10 Julai 2009, Jawatankuasa Program Kecemerlangan UPSR SK Jelai telah mengadakan Bengkel Teknik Menjawab Soalan Matematik UPSR di Makmal Komputer SK Jelai. Program tersebut telah bermula pada jam 9.00 pagi dan tamat pada jam 12.00 tengahari.Ceramah Teknik Menjawab Soalan Matematik UPSR telah disampaikan oleh En. Nop a/l Endin Lean dari SK Jelai, Batu Kurau. Beliau juga merupakan Guru Cemerlang Matematik.

KURSUS MOTIVASI KECEMERLANGAN MATEMATIK PERINGKAT DAERAH LMS 2009

Pada 9 Julai 2009, telah diadakan Kursus Motivasi Kecemerlangan Matematik Tahun 6 Potensi Lulus Dan Potensi Cemerlang Peringkat Daerah LMS Tahun 2009 di SK Toh Sajak, Batu Kurau. Kursus ini adalah anjuran Panitia Matematik Daerah. Setiap sekolah dikehendaki membawa seramai 8 orang murid dari sekolah masing - masing iaitu seramai 5 orang murid yang berpotensi untuk lulus dalam gred D atau E, manakala 3 orang lagi yang berpotensi untuk cemerlang dalam gred B atau A. En. Nop a/l Endin Lean dari SK Jelai adalah salah seorang daripada penceramah untuk kursus ini. Beliau juga adalah seorang Guru Pakar Matematik.


Friday, July 10, 2009

PPSMI DIMANSUHKAN MULAI 2012

"Dasar PPSMI akan mansuh...jangan takut. Kami akan buat secara beransur-ansur sehingga semua peringkat pelajar yang terlibat tamat seluruhnya."

Maka bagi orang Melayu, lembutlah hati masing-masing apabila mendengar hal tersebut. Tetapi itu mungkin bagi orang Melayu masakini. Tetapi bagi rakyat banyak, mungkin tidak. Bayangkanlah dalam tempoh setahun, berapa ratus ribu pelajar yang terlibat menjadi mangsa dasar seumpama ini. Kalau 3 tahun ..?

Buktinya..sila baca fakta-fakta di bawah. Kenyataan ini dibuat sendiri oleh Menteri Pelajaran :
  • Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa dua subjek itu diajar dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003.

  • Menteri pelajaran juga berkata laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 turut menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam Sains merosot ke tangga 21 daripada tangga ke-20 pada 2003.

  • "Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

  • Menurut Bernama, beliau berkata kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI."Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris
Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 - Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.

SUMBER : BLOG SK LAMBOR KANAN

Thursday, July 9, 2009

PEMANTAUAN PKG KE SEKOLAH

Pada 6 Julai 2009, satu pemantauan telah diadakan oleh Penyelaras PKG Batu Kurau iaitu Pn. Khairiyah Chik Bt Major Mohamed Khalid atau panggilan mesranya, Pn. Kay untuk memantau PSS, NILAM dan ICT SK Jelai. Sehubungan dengan perkara itu, guru - guru yang bertanggungjawab dengan pemantauan ini iaitu Ustaz Mohd Yusfee Bin Mohamed Yusof, selaku guru GPM dan En. Mohd. Rohaizad Bin Mohd. Kher, selaku guru BESTARI telah menyambut Pn. Kay ke Pusat Sumber SK Jelai.

Turut serta dalam perbincangan mengenai ICT sekolah bersama Pn. Kay ialah Guru Besar, Pn. Hjh Roohaya Bt Osman, PK KOKO, En. Sudirman Bin Abdul Ghani dan Juruteknik Komputer yang baru iaitu Cik Syazwani. Dalam perjumpaan yang selama 3 jam itu, telah banyak yang dibincangkan untuk meningkatkan lagi kualiti ICT di sekolah ini.

KALIMAH ALLAH PADA KOPI RADIX `MAI SECAWAN'



SUBHANALLAH..MAHA SUCI ALLAH!

Jelas kelihatan kalimah Allah pada permukaan air kopi Radix di dalam cawan. Sungguh besar kuasa Allah SWT. Menakjubkan!

"Sesungguhnya Kami kembalikan ke dalam neraka Jahannam nanti ramai daripada golongan manusia dan jin, mereka punya hati tetapi tidak faham dengannya, punya telinga tetapi tidak mendengar dengannya, punya mata tetapi tidak melihat dengannya. Mereka seperti binatang ternak bahkan lebih hina" ( Al-A'raf : 179 )

Seharusnya kita memandang dengan mata hati, nescaya kita akan nampak apa yang tersirat di sebalik apa yang tersurat.

Dalam kekemelutan munculnya Kopi Master Radix..mungkin apa yang terjadi ini ada hikmahnya. Sesungguhnya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui..

Ambillah iktibar dan pengajaran daripada apa yang berlaku. Semoga Allah mengetuk pintu hati kepada sesiapa yang masih belum lagi bersama-sama memperjuangkan produk halal tanggungjawab kita bersama. Bagi pengedar-pengedar baru yang mula berputus asa dengan kemunculan kopi palsu Master Radix, harus bangkit kembali dengan semangat baru yang yakin dengan kelebihan produk kita.

Berfirman Allah SWT yang bermaksud:

" Dan Allah memberi berita gembira setiap yang baik itu dengan syurga. Barang siapa mengenali Allah dengan sebenar-benarnya lalu mentaati-Nya, berjayalah dia. "

( Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali:
al-Mawa'iz Fil Ahadis al-Qudsiah )

Pada hari Isnin, 13 Rejab 1430 Hijrah, lebih kurang jam 9.00 pagi, Penaung Komiti Nilai, PJS Siti Habibah Yusof mendapat panggilan telefon daripada Bendahari Komiti Nilai, Pn. Zabedah binti Man. Beliau menceritakan pada jam 6.30 pagi, anak perempuannya membancuh kopi radix untuk adik lelakinya bersarapan sebelum pergi ke sekolah. Lebih kurang pada jam 6.50 pagi, ketika anak lelakinya ingin meminum kopi yang telah disediakan oleh kakaknya itu, beliau telah terlihat satu pembentukan kalimah Allah telah timbul pada permukaan minuman kopi radix tersebut.

Suami Pn. Zabedah iaitu En. Habidin bin Mat telah mengambil gambar tersebut sebagai bukti akan kebesaran Allah dan juga untuk tatapan kami dan juga ahli HPA amnya.

Sumber : http://pjskpu.blogspot.com


BENGKEL TEKNIK MENJAWAB SAINS UPSR

Pada 8 Julai 2009, Jawatankuasa Program Kecemerlangan UPSR SK Jelai telah mengadakan Bengkel Teknik Menjawab Soalan Sains UPSR di Makmal Komputer SK Jelai. Program tersebut telah bermula pada jam 9.00 pagi dan tamat pada jam 12.00 tengahari.

Ceramah Teknik Menjawab Soalan Sains UPSR telah disampaikan oleh En. Khairul Azhari Bin Hassan Basri dari SK Kampong Yaman, Batu Kurau. Beliau juga merupakan Guru Cemerlang Sains dan pemeriksa kertas Sains UPSR.


Wednesday, July 8, 2009

PENYAMPAIAN SIJIL KARNIVAL MUZIK DAN KEBUDAYAAN DAERAH LMS OLEH GURU BESAR

Pada 6 Julai 2009, pada Perhimpunan Pagi di Dataran Kejat SK Jelai, satu upacara penyampaian sijil telah diadakan. Guru Besar SK Jelai telah sudi untuk menyampaikan Sijil Karnival Dan Kebudayaan Daerah Larut, Matang Dan Selama bagi Tahun 2008 dan 2009.

Monday, July 6, 2009

LAWATAN KE TRENGGANU TELAH MEMBERI PENGALAMAN INDAH KEPADA MURID SK JELAI

Selama 3 hari bermula 3 Julai 2009 hingga 5 Julai 2009, satu lawatan telah diadakan ke Trengganu oleh guru - guru SK Jelai telah memberikan satu pengalaman yang indah kepada murid - murid SK Jelai yang turut sama dalam rombongan ini. Seramai 30 orang murid dan 10 orang guru telah menyertai lawatan ini yang julung - julung kalinya diadakan. Sebelum ini SK Jelai pernah mengadakan lawatan ke Kuala - Lumpur, Pulau Langkawi, Perlis dan banyak lagi. Tetapi, lawatan ke Trengganu adalah yang pertama kali diadakan.

Lawatan ke Trengganu juga telah memberikan banyak pengalaman - pengalaman baru kepada murid dan juga guru, seperti pertama kali memegang penyu dan melihat dengan mata sendiri dan memegang tulang sebenar ikan paus. Banyak tempat - tempat menarik yang telah dilawati seperti Muzium Trengganu yang mempunyai 2 bangunan 3 tingkat, Masjid Terapung di Kuala Ibai, Taman Tamadun Islam Trengganu ( TTIT), yang mempunyai replika masjid - masjid agung di seluruh dunia, Masjid Kristal di Palau Wan Man, yang cantik dan indah sekali, Pusat Pemeliharaan Penyu di Rantau Abang, yang menempatkan dari penyu yang kecil hinggalah penyu yang besar sebesar sebuah meja.

Murid - murid juga tidak melepaskan peluang bermain dan berkelah ditepi Pantai Kelulut dan bermain ombak di Pantai Batu Burok, di mana tempat kami menginap. Murid - murid amat gembira sekali bermain dan menjalankan aktiviti pantai yang di rancang oleh Cikgu Sudirman dan guru - guru yang lain sambil mengutip siput - siput kecil untuk dijadikan kenang - kenangan bila pulang nanti. Ini adalah kerana terdapat murid - murid dari SK Jelai yang tidak pernah keluar dari Jelai dan Batu Kurau. Saat inilah peluang mereka untuk melihat budaya dan suasana kehidupan di negeri orang sambil merasai pengalaman - pengalaman baru yang belum pernah mereka rasai.

Dari temuramah kepada murid dan juga guru yang menyertai rombongan ini, mereka amat teruja sekali dan ingin pergi lagi ke Trengganu jika ada peluang yang diberikan pada masa akan datang nanti. Saksikanlah gambar - gambar kenangan dan rakaman video yang sempat dirakam semasa lawatan ini.

SELAMAT MENONTON


Thursday, July 2, 2009

TAKLIMAT LAWATAN KE TRENGGANU

Satu taklimat ringkas telah diadakan di dataran kejat SK Jelai selepas perhimpunan pagi pada hari ini ( 2 Julai 2009 ) untuk peserta - peserta rombongan ke Trengganu. Taklimat itu telah disampaikan oleh En. Mohd. Rohaizad Bin Mohd. Kher dan En. Saidi Bin Abdul Wahab selaku ketua rombongan.

Taklimat Ini adalah bertujuan untuk pengetahuan dan persediaan murid sebelum dan semasa lawatan nanti. Guru Besar SK Jelai, Pn. Hjh. Roohaya Bt. Osman juga turut memberi kata - kata nasihat kepada peserta - peserta rombongan agar menjaga keselamatan diri semasa berada di tempat orang. Seramai 40
orang yang akan mengikuti rombongan tersebut selama 3 hari bermula esok, termasuk murid dan juga guru berserta keluarga.

Menurut En. Saidi, banyak tempat - tempat menarik yang bakal dilawati disekitar negeri Trengganu. Ketahui berita selanjutnya selepas lawatan ini berserta gambar - gambar yang menarik kerana `blogger' juga akan turut serta dalam rombongan ini.

DOAKAN SEMOGA PERJALANAN KAMI SELAMAT...AMIN.

Wednesday, July 1, 2009

BERITA BAIK UNTUK SEMUA WARGA SK JELAI ( INTERNET PUSAT AKSES DAH OK ) !

Pada hari ini bertarikh 2 Julai 2009, Pusat Akses SK Jelai telah mempunyai internet semula setelah selama 1 tahun Pusat Akses terputus internet. Selama 1 tahun juga guru - guru dan murid - murid sekolah ini merungut dan mengeluh kesah kerana tidak dapat mengakses internet di Pusat Akses. Hendak mengakses internet di Makmal Komputer pula, tidak boleh kerana komputer di Makmal Komputer dah `out of date' ( dah lama dan uzur ).

Pada mulanya Pusat Akses telah dibina dan mula beroperasi pada bulan Mei 2007 yang lalu, maka murid - murid sekolah ini yang hidup serba kekurangan dan kemiskinan merasa gembira bila adanya Pusat Akses yang dapat memberikan banyak info - info terkini kepada mereka dan juga untuk mencari bahan pengajaran dan pembelajaran kepada guru - guru dan juga murid - murid. Malangnya selepas setahun, internet mengalami masalah yang tidak diketahui. beberapa kali pihak sekolah menghubungi pembekal kerana masih ada `warranty', namun hampa.

Proses ini telah berjalan selama setahun, hinggalah hadirnya En. Sudirman Bin Abdul Ghani sebagai PK Koko yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang PKG dan pengurusan. En. Sudirman telah berusaha bersama - sama dengan guru - guru sekolah ini untuk menghidupkan semula internet di Pusat Akses. Akhirnya, pada hari ini ( 2 Julai 2009 ) berjaya ! Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat. Semoga perjalanan sekolah ini untuk menjadi sebuah sekolah yang celik IT akan dapat dilaksanakan. SEKIAN.

SPELLING DAY COMPETITION AND TIE BREAKER

Pada 1 Julai 2009, Panatia Bahasa Inggeris SK Jelai telah mengadakan Spelling Day Competition And Tie Breaker kepada semua murid tahun 4,5 dan 6. Dalam program Spelling Day Competition ini, untuk classroom level, 15 perkataan akan diuji. Sementara itu, untuk interclass room level, 30 perkataan akan diuji. Program ini melibatkan semua sekolah di seluruh negeri Perak secara serentak. Program ini juga adalah bertujuan untuk di masukkan ke dalam MALAYSIA GENUISS BOOK OF RECORD dan untuk mengatasi rekod dari JPN negeri Pahang yang telah berjaya mengumpul seramai lebih kurang 65,000 orang murid menyertai pertandingan ini. Negeri yang terpilih pada kali ini adalah negeri Perak. SELAMAT BERJAYA !

SK JELAI MENERIMA STAFF BARU ( GRED FT17 )


Pada 30 Jun 2009, SK Jelai telah menerima staff baru berjawatan sebagai Juruteknik Komputer FT17 iaitu Cik Norsyazwani Afiqah Bt K.N.A Abdul Salim yang berasal dari Kampung Expo, Kamunting, Perak. Beliau adalah lulusan Kolej Komuniti Grik dalam bidang Teknologi Maklumat.

Semoga dengan kehadiran beliau akan memudahkan pengurusan komputer dan dapat membantu Guru Pusat Akses dan Guru Makmal Komputer yang tak berapa pandai dalam bidang komputer.


4 ORANG MURID SK JELAI MENERIMA ANUGERAH RAMBU

4 orang murid dari SK Jelai telah menerima Anugerah RAMBU yang telah disampaikan oleh Guru Besar SK Jelai, Pn. Hjh. Roohaya Bt. Osman pada Perhimpunan Pagi Isnin 29 Jun 2009. Anugerah RAMBU tersebut telah diterima oleh 4 orang murid sekolah ini setelah menyertai Perkhemahan Anugerah RAMBU Peringkat Negeri Perak yang lalu. Mereka adalah Muhammad Hanif Bin Aillias, Muhammad Lutfil Hadi Bin Umar, Ainul Syazwani Bt Azlan dan Siti Nurul Ain Bt Abdullah.

TAHNIAH DAN SYABAS DIUCAPKAN.