Saturday, October 31, 2009

PERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM SK JELAI 2009 BERJALAN LANCAR

Pada 30 & 31 Oktober 2009, Perkhemahan Unit Beruniform Peringkat SK Jelai telah berjalan dengan lancar sepertimana yang telah dirancang. Perkhemahan Unit Beruniform pada kali ini juga menampakkan kemampuan PK KOKO yang baru iaitu En. Sudirman Bin Abdul Ghani sebagai penyelaras dan Kem Komandan untuk perkhemahan yang pertama kali bagi beliau di sekolah ini.

Menurut En. Sudirman, walaupun beliau masih baru di sekolah ini, namun kerjasama yang diberikan oleh semua guru - guru di sekolah ini telah melancarkan perjalanan perkhemahan pada kali ini. Beliau amat berterima kasih kepada semua yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan perkhemahan pada kali ini.

Pada kali ini seramai 100 orang murid telah menyertai perkhemahan yang melibatkan murid - murid dari tahun 4, 5 dan 6. Di antara aktiviti - aktiviti yang telah dijalankan adalah memasang dan menghias khemah, malam kebudayaan yang sungguh meriah. Malam kebudayaan juga telah menonjolkan pengacara baru yang berbakat iaitu Cikgu Fathi. Selain daripada persembahan kumpulan yang merupakan lakonan dan nyanyian, terdapat juga acara baru yang diperkenalkan iaitu pakaian beragam.

Pada hari kedua, selepas solat subuh berjamaah, diadakan senaman pagi. Selepas itu, acara yang menjadi kegemaran murid - murid SK Jelai iaitu acara ekspedisi yang melalui jalan Kampung Air Itam. Berjalan merentasi hutan dan sungai amat menyeronokkan murid - murid, juga laluan berhalangan yang sungguh mencabar. Bagi murid yang tidak mengikuti ekspedisi, setiap unit seramai 5 orang telah menjalankan aktiviti memasak.

Pada akhir aktiviti pula diadakan pertandingan kawad bagi 4 unit beruniform seperti Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Puteri Islam dan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS). Pada majlis penutupan, Guru Besar telah memberi ucapan ringkas dan seterusnya merasmikan upacara penutup Perkhemahan Unit Beruniform 2009. Acara tamat pada jam 2.30 petang.

KEPUTUSAN UNIT TERBAIK PADA PERKHEMAHAN KALI INI :


  1. PUTERI ISLAM
  2. TKRS
  3. PENGAKAP
  4. PBSM
TAHNIAH KEPADA PUTERI ISLAM YANG TELAH BERJAYA MENDAPAT UNIT TERBAIK PADA PERKHEMAHAN KALI INI.

SEMOGA BERJUMPA LAGI DI TAHUN 2010




Friday, October 30, 2009

KEM 1 MALAYSIA & KURSUS TKRS 2009

Bermula dari 27 Oktober hingga 29 Oktober 2009, seramai 2 orang guru dari SK Jelai telah terlibat dalam Perkhemahan Kem 1 Malaysia dan Kursus TKRS yang telah diadakan di KEM PLKN, Ijok, Perak. Mereka adalah En. Saidi Bin Abdul Wahab dan En. Mohd. Rohaizad Bin Mohd. Kher.

PERSEDIAAN PERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM 2009

Bermula pada 30 Oktober hingga 31 Oktober 2009, Perkhemahan Unit Beruniform Peringkat SK Jelai 2009 akan diadakan di SK Jelai, Batu Kurau, Perak. Namun, persediaan untuk menghadapinya telah pun dibuat awal - awal lagi. Di bawah ini dipaparkan sedikit gambar - gambar semasa persediaan untuk perkhemahan dibuat.

PANCURAN YANG DIREKA KHAS OLEH GURU PK KOKO, CIKGU SUDIRMAN UNTUK PESERTA LELAKI MANDI DI BELAKANG TANDAS

CIKGU HASNAN DAN PEKERJA SEKOLAH SEDANG MEMBUAT LALUAN BERHALANGAN UNTUK ACARA EKSPEDISI

USTAZ FIKRI SEDANG MENGIKAT TAYAR - TAYAR UNTUK LALUAN BERHALANGAN SEMASA EKSPEDISI NANTI

KUKUH ! USTAZ FIKRI MENCUBANYA DENGAN GAYA YANG TERSENDIRI

LALUAN BERHALANGAN YANG SUDAH SIAP. PESERTA AKAN MERANGKAK DI BAWAH UNTUK MELALUINYA

LALUAN YANG TELAH DISEDIAKAN UNTUK PESERTA PERKHEMAHAN

ISYARAT APA NI ?

Tuesday, October 27, 2009

TRAGEDI KEBAKARAN RUMAH MURID SK JELAI

Pada 28 Oktober 2009, sekitar jam 8.00 pagi, telah berlaku satu kebakaran rumah salah seorang daripada murid SK Jelai, iaitu Abdullah Bin Hamzah dari Tahun 5 USM. Semasa kejadian berlaku, keluarga Pak Hamzah semuanya tidak ada di rumah. Mereka telah keluar awal - awal lagi untuk berniaga di Kamunting, Taiping. Abdullah juga tidak hadir ke sekolah kerana mengikut keluarganya berniaga.

Hanya jiran - jiran sahaja yang telah mengesan kebakaran tersebut, tetapi tidak sempat menyelamatkan apa - apa pun kerana api terlalu marak. Bomba daripada Taiping pula lambat sampai menyebabkan rumah tersebut habis musnah dijilat api.

Semasa saya dan Cikgu Silmi menemuramah Pak Hamzah, menurut beliau dia telah menerima panggilan telefon mengenai kejadian tersebut dari jiran - jirannya. Apabila beliau sampai, beliau hanya dapat melihat sahaja bomba sedang memadam kebakaran dan tidak dapat menyelamatkan harta benda beliau yang telah musnah.

Warga SK Jelai mengucapkan ta`ziah kepada keluarga Pak Hamzah dengan apa yang telah berlaku kepada rumah beliau dan mengharapkan Pak Hamzah dan isteri bersama 10 orang anak mereka supaya banyak bersabar. Segala bantuan akan segera tiba dan SK Jelai juga akan mengadakan kutipan wang bagi meringankan beban keluarga Abdullah, esok.

PENYAMPAIAN HADIAH PEMENANG TULISAN JAWI

Pada 26 Oktober 2009, semasa Perhimpunan Pagi, telah diadakan penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Tulisan Jawi dan penyampaian sijil kepada murid - murid yang telah menyertai Majlis Tilawah Al - Quran ( MTQ ) Peringkat Zon Batu Kurau pada 7 Mac 2009 yang lalu. Pertandingan Tulisan Jawi pula telah dijalankan pada 17 September 2009 yang lalu.

Penyampaian hadiah dan sijil tersebut telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Jelai, Puan Hajjah Roohaya Bt Osman.


JAMUAN PERPISAHAN TAHUN 6 2009

Pada 14 Oktober 2009, Kelas Tahun 6 telah mengadakan Majlis Jamuan Perpisahan Tahun 6 di Kelas Tahun 6 USM. Semua guru telah dijemput untuk hadir pada jam 10.00 pagi.

Terima kasih diucapkan kepada murid - murid Tahun 6 yang telah berjaya mengadakan majlis jamuan tersebut.

TAHNIAH DAN SYABAS DIUCAPKAN SEMOGA BERJAYA DALAM UPSR NANTI.


KURSUS `TEACHING GRAMMER USING SONGS'

Seorang guru Bahasa Inggeris, iaitu En. Izhar Bin Brahim, telah terpilih untuk menghadiri Kursus ` Teaching Grammer Using Songs' pada 27 hingga 29 Oktober 2009. Kursus itu telah diadakan di Pusat Kegiatan Guru ( PKG ) Batu Kurau, Perak.

PKSR 2 TELAH BERMULA

Bermula dari 27 hingga 30 Oktober 2009, telah berjalan Penilaian Kendalian Sekolah Rendah ( PKSR ) 2 bagi tahun 2009. Semua murid SK Jelai dari Tahun 1 hingga Tahun 5 mendudukinya kecuali Tahun 6 yang baru sahaja selesai UPSR.


2 ORANG GURU SK JELAI TERLIBAT DALAM KURSUS ICTL 2009

Bermula 20 hingga 22 Oktober 2009, 2 orang guru dari SK Jelai telah terlibat dalam Kursus ICTL Daerah Larut, Matang Dan Selama yang diadakan di Pangkor Holiday Resort, Pulau Pangkor.

Guru - guru tersebut adalah Pn. Nor Faieza Bt Mohd Fadzli sebagai peserta kursus, manakala En. Rohaizad Bin Mohd Kher sebagai Jurulatih Utama ( JU ). Kursus tersebut telah dirasmikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Ulu Perak.

Friday, October 23, 2009

MISTERI YAKJUJ DAN MAKJUJ DIKURUNG DALAM TEMBOK AJAIB OLEH ZULKARNAIN

Di sebalik pembinaan kota besar hasil kemajuan pembangunan dan kemodenan yang melanda hampir seluruh pelusuk dunia hari ini, masih terdapat satu kawasan rahsia di muka bumi ini yang menyimpan ribuan makhluk misteri.

Sehingga kini, penerokaan demi penerokaan di seluruh kawasan bumi masih belum menemui wilayah asing itu sekali gus menyebabkan kewujudan makhluk terbabit tidak akan dikenal pasti pengkaji atau manusia umumnya.

Bagaimanapun, kewujudan makhluk itu adalah sahih dan suatu hari nanti, mereka akan muncul juga di hadapan manusia. Akan tetapi, ketika makhluk itu muncul, sudah terlambat untuk manusia berbuat apa-apa lagi.

Tiada lagi kajian mengenai sejarah kewujudan atau penyelidikan sains dilakukan terhadap makhluk itu seperti penemuan artifak atau spesies baru ketika ini kerana sewaktu munculnya makhluk dikenali Yakjuj dan Makjuj itu, dunia sudah terlalu hampir dengan kiamat!

Sejak dikurung ribuan tahun lalu, kewujudan dan lokasi ‘pusat tahanan’ Yakjuj dan Makjuj masih menjadi misteri kepada manusia.

Bagaimanapun, kewujudan dua makhluk itu adalah pasti lantaran ia dinyatakan dalam Al - Quran serta tergolong dalam perkara ghaib yang wajib diimani manusia menerusi tanda besar berlakunya kiamat.

Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (API-UM), Prof Madya Dr
Fauzi Deraman, berkata Yakjuj dan Makjuj bukanlah berupa haiwan atau spesies lain sebaliknya ia adalah manusia yang berasal daripada keturunan Nabi Adam AS.

Katanya, mengikut hadis, bangsa Yakjuj dan Makjuj berasal daripada keturunan anak lelaki
Nabi Nuh AS iaitu Yafis yang berkembang melewati masa sehinggalah Zulkarnain membina tembok bagi menghalang mereka keluar dari lokasi mereka.

“Cerita mengenai sejarah Yakjuj dan Makjuj tertera dalam al-Quran menerusi surah al-Kahfi, ayat ke-92 hingga 98 manakala kebangkitan mereka dinyatakan dalam surah an-Anbiyaa’, ayat ke-96 dan 97,” katanya.

Allah berfirman menerusi ayat surah al-Kahfi itu: “Kemudian dia (Zulkarnain) menempuh suatu jalan (yang lain lagi). Hingga apabila dia sampai antara dua gunung, dia mendapati di hadapan kedua bukit itu suatu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan.

“Mereka berkata: ‘Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara mereka?’.

“Zulkarnain berkata: ‘Apa yang dikuasakan Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan peralatan), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka. Berilah aku potongan-potongan besi’.

“Hingga apabila besi itu sudah sama rata dengan kedua-dua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain: ‘Tiuplah (api itu)’. Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: ‘Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar aku tuangkan ke atas besi panas itu.

“Maka mereka tidak dapat mendakinya dan mereka tidak dapat melubanginya. Zulkarnain berkata: ‘Ini (dinding) adalah rahmat daripada Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku (kiamat), Dia akan menjadikannya hancur luluh dan janji Tuhanku itu adalah benar’.”

Dalam ayat surah an-Anbiyaa’ pula, Allah berfirman: “Hingga apabila dibukakan (tembok) Yakjuj dan Makjuj; dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi. Dan sudah dekatlah kedatangan janji yang benar (kaimat) maka tiba-tiba terbelalaklah mata orang kafir. (Mereka berkata): ‘Aduhai, celakalah kami, sesungguhnya kami adalah dalam kelalaian mengenai ini, bahkan kami adalah orang yang zalim’.”

Dr Fauzi berkata, selain dua surah al-Quran itu, terdapat banyak hadis kuat yang membicarakan mengenai Yakjuj dan Makjuj tetapi terdapat juga perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai ciri-ciri bangsa itu yang tidak diterangkan nas.

“Hadis riwayat Imam Ahmad pula menerangkan ciri fizikal Yakjuj dan Makjuj yang antara lain bermuka bulat dan kulit kekuningan seperti wajah kebanyakan penduduk Asia Tengah.

Ulama juga cenderung mengatakan Yakjuj dan Makjuj berasal dan dikurung di benua Asia Tengah berdasarkan tafsiran ayat ke-90 dari surah al-Khafi yang menyebut Zulkarnain sampai ‘di tempat terbit matahari’ iaitu timur dunia,” katanya.

Pendapat lain menambah yang Yakjuj dan Makjuj berkemungkinan berasal daripada bangsa Tartar dan Mongul manakala lokasi tahanan mereka adalah kawasan pergunungan luas Caucasus.

Beliau berkata, kebanyakan ulama menyatakan yang bangsa itu terus wujud sehingga kini tetapi dipisahkan daripada dunia manusia oleh Allah SWT menerusi tembok dibina Zulkarnain itu.

Katanya, tugas bangsa itu setiap hari sejak ribuan tahun lalu adalah mengorek tembok itu untuk tembus ke dunia manusia tetapi Allah masih menghalang mereka dengan kembali meneguhkan benteng berkenaan sehinggalah hampirnya
hari kiamat.

“Allah akan mengizinkan tembok itu runtuh dan Yakjuj dan Makjuj bebas ke dunia manusia apabila hampirnya kiamat dan peristiwa itu menjadi satu daripada 10 tanda besar kiamat,” katanya.

Yakjuj dan Makjuj juga muncul selepas kematian
Dajal yang dibunuh Nabi Isa AS dan bangsa itu akan mendatangkan kerosakan besar di muka bumi. Kekuatan mereka dikatakan luar biasa dan terlalu hebat sehingga tiada sesiapa yang mampu menewaskan kumpulan itu.

“Nabi Isa AS memerintahkan manusia yang masih beriman berlindung di pergunungan bagi mengelak menjadi mangsa Yakjuj dan Makjuj; baginda kemudian berdoa kepada Allah SWT dan Allah membinasakan mereka dengan mengutuskan ulat yang menyerang belakang badan golongan itu sehingga mati.

“Selepas bangsa Yakjuj dan Makjuj mati serta menjadi busuk, Allah mengutuskan seekor burung besar untuk mengangkut dan membersihkan mayat itu dari bumi,” katanya.

Menyoroti dalil
kewujudan Yakjuj dan Makjuj, manusia seharusnya yakin mempertahankan akidah Islam dan tidak bertangguh memohon keampunan dan keredaan Allah kerana mereka yang masih lalai adalah golongan yang diterangkan dalam surah an-Anbiyaa’ di atas seperti firman-Nya: “(Mereka berkata): ‘Aduhai, celakalah kami, sesungguhnya kami adalah dalam kelalaian mengenai ini, bahkan kami adalah orang yang zalim’.”


FAKTA YAKJUJ DAN MAKJUJ

1. Ketika kemunculannya, mereka dikatakan akan menuju ke sebuah tasik di Palestin dan akan minum air tasik itu sehingga kering.

2. Memiliki zuriat yang ramai dan dikatakan tidak akan mati sehingga melahirkan lebih 1,000 zuriat.

3. Tiada siapa mampu menewaskan mereka dan hanya binasa dengan
kekuasaan Allah.

4. Muncul selepas turunnya Nabi Isa AS dan Dajal.

5. Dalam sebuah hadis, Rasulullah menyatakan kebimbangannya apabila pada zaman baginda, Yakjuj dan Makjuj dikatakan sudah berjaya menebuk benteng
Zulkarnain sebesar bulatan dibentuk ibu jari dan jari telunjuk

Sunday, October 18, 2009

PSS SK JELAI MENERIMA 2 BINTANG PENGGREDAN PUSAT SUMBER 2009

Pada 16 Oktober 2009, Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Jelai telah menerima 2 bintang Penggredan Pusat Sumber bagi tahun 2009. Guru Besar SK Jelai, Puan Hajjah Roohaya Bt Osman telah menerima 2 sijil daripada Penyelaras Pusat Kegiatan Guru Batu Kurau, Puan Khairiyah Chik Bt Major Mohamad Khalid.

Penyampai sijil tersebut telah dilakukan semasa perjumpaan Penyelaras PKG Batu Kurau dan guru - guru besar Zon Batu Kurau di PKG Batu Kurau.

Thursday, October 15, 2009

LAWATAN RIMUP 2009

Pada 12 Oktober 2009, satu lawatan RIMUP telah diadakan ke sekitar Ipoh dan Kuala Kangsar, Perak oleh gabungan dua buah sekolah iaitu SK Jelai seramai 20 orang murid dan SJK(C) Phooi Wah, Jelai seramai 16 orang. Lawatan ini adalah salah satu Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP).

Di antara guru - guru yang menyertai lawatan ini adalah Guru Besar dari ke dua buah sekolah, En. Mohd. Rohaizad Bin Mohd. Kher dan Pn. Sufina Bt. Ahmad Sofi dari SK Jelai dan guru - guru dari SJK(C) Phooi Wah, Jelai.

Lawatan yang bermula seawal jam 6.30 pagi dari SK Jelai berakhir pada jam 5.30 petang. Di antara tempat - tempat yang dilawati adalah :

  1. Kilang Aiskrim Wonderfull di Silibin, Ipoh.2. Pusat Pemeliharaan Haiwan di Sungai Siput ( pemeliharaan rusa dan burung unta ).
  2. Kilang Kicap TAMIM di Kuala Kangsar.
  3. Jabatan Kemajuan Kraftangan, Kuala Kangsar ( Pembuatan Labu Sayong ).
  4. Berhenti makan di Safari Resort.
  5. Solat di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar dan
  6. Galeri Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

Thursday, October 8, 2009

KARNIVAL PEMULIHAN KHAS PERINGKAT DAERAH LMS 2009


Pada 8 Oktober 2009, 3 orang murid SK Jelai telah terpilih untuk menyertai Karnival Pemulihan Khas Peringkat Daerah Larut, Matang Dan Selama Tahun 2009 bertempat di Zoo Taiping. Murid - murid yang terpilih itu ialah Muhamad Shafiq Aizal Bin Azman yang menyertai acara Pertandingan Melukis, Norizzatul Ain Bt Mat Zuki, dalam acara Tulisan Makanis dan Nor Hafizah Bt Rosdi, dalam acara Pemahaman.

Guru Pemulihan Khas SK Jelai, En. Mohd. Daud Bin Mohd. Nor telah mengiringi murid - murid tersebut ke Karnival itu. Semoga berjaya.

Tuesday, October 6, 2009

PADANG DALAM KENANGAN

Kemusnahan hebat Bandar Padang, Sumatera Barat, Indonesia dengan bencana gempa bumi baru - baru ini, bukan sahaja menggemparkan kembali dunia dengan silih bergantinya tragedi yang melanda Bumi Seberang, namun kejadian tersebut juga memberi kesan yang besar kepada sebahagian pemimpin - pemimpin Kelab Pemimpin Utara ( KPU ), HPA yang pernah memijakkan kaki di bumi itu dalam Ekspedisi Lawatan KPU pada 26 hingga 30 Disember 2008 yang lalu. Hampir keseluruhan lokasi menarik dan bangunan yang menghiasi bandar Minangkabau tersebut telah runtuh menyembah bumi. Lebih menyedihkan apabila kejadian tersebut turut menyeret kematian beribu penduduk di sana.

Pemimpin - pemimpin KPU HPA pastinya masih dapat membayangkan keindaha
n dan keunikan bandar tersebut, juga keselesaan Hotel Ambancang yang menjadi tempat rehat istimewa dan banyak menyimpan pengalaman bagi setiap peserta. Hotel yang boleh dikategorikan sebagai antara hotel yang paling `standard' di bandar tersebut, kini 3/4 Hotel Ambancang telah runtuh dan dikatakan masih banyak mayat - mayat penghuni hotel yang terperangkap masih gagal dikeluarkan.

Lapangan Terbang Padang yang banyak mengimbau sejarah dan kenangan bagi ahli - ahli rombongan juga telah musnah dalam kejadian gempa bumi tersebut. Begitulah hebatnya gempa bumi yang telah berlaku di Bandar Padang, Indonesia yang tidak menjangkakan kita terutamanya bagi kami yang telah pernah ke sana. Semoga apa yang berlaku akan menjadi iktibar kepada kita untuk selalu mengingati bahawa Allah berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang dikehendakinya. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Semoga Allah akan sentiasa melindungi kita dari segala bencana dan memberikan kebaikan di akhirat kepada mangsa - mangsa tragedi , juga kekuatan dan ketabahan kepada mereka yang kehilangan kaum keluarga dan terpaksa meneruskan kehidupan di celah bangunan batu bata yang runtuh.

HOTEL AMBANCANG YANG TELAH RUNTUH DALAM TRAGEDI GEMPA BUMI

HOTEL AMBANCANG WAKTU MALAM SEBELUM RUNTUH

BERGAMBAR KENANGAN DI DALAM HOTEL AMBANCANG SEMASA LAWATAN KE PADANG PADA
26 HINGGA 30 DISEMBER 2008


SEBAHAGIAN DARIPADA PEMIMPIN - PEMIMPIN KPU BERGAMBAR DI DEPAN HOTEL GRAN MALINDO, BUKIT TINGGI, INDONESIA