Monday, May 17, 2010

HARI TERAKHIR PUAN FAIZA HUSSIN DI SK JELAI

17 Mei 2010 (Isnin) - Walaupun Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat SK Jelai disambut dengan meriah, namun jauh di sudut hati seorang guru SK Jelai iaitu Pn. Faiza Bt. Hussin amat sayu dan sedih sekali kerana pada tarikh 17 Mei 2010 adalah hari yang terakhir bagi beliau berada dan menyambut Hari Guru bersama - sama guru - guru SK Jelai. Amat berat bagi beliau untuk meninggalkan SK Jelai kerana di sinilah terdapat banyak kenangan - kenangan manis yang telah terpahat di hatinya. Tetapi beliau terpaksa juga meninggalkan SK Jelai kerana beliau telah mendapat pertukaran untuk mengajar ke SK Taman Palma, Kamunting, Perak iaitu sekolah yang baru dibuka tahun ini.

Walaupun beliau telah berada di sekolah ini selama 11 tahun, bermula dari bulan Jun 1999, namun beliau merasakan baru sahaja berada di sini kerana kemesraan dan keintiman warga SK Jelai terhadap beliau. Beliau juga adalah seorang yang amat mudah mesra dan ceria selalu. Setiap perbualan bersama beliau akan disusuli dengan gelak ketawa.

Sebelum ini beliau pernah bertugas di SK Sg. Marong, Bentong, Pahang pada tahun 1997, merupakan sekolah pertama beliau dan bertukar pula ke SK Sg. Ara, Batu Kurau, Perak pada tahun 1998 dan hanya 8 bulan sahaja di sekolah itu dan bertukar pula ke SK All Saint di Kamunting, Perak. SK Jelai adalah sekolah yang ke empat beliau dan merupakan sekolah yang paling lama mengajar. Semasa di SK Jelai juga beliau telah berada dibawah pentadbiran 5 orang guru besar bermula dari En. Basri Bin Mohd. Radzi, Allahyarhamah Pn. Hjh. Rafiah Bt. Abd. Majid, En. Mohamad Zamri Bin Mohamad Ariffin, En. Omar Bin Abd. Aziz dan yang terakhir, Pn. Hjh. Roohaya Bt. Osman.

Sepanjang beliau berada di SK Jelai, beliau pernah memegang jawatan sebagai Bendahari Kehormat Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) dari tahun 2002 hingga 2003. Beliau adalah seorang guru Bahasa Inggeris dan Muzik di sekolah ini. Beliau sekarang menetap di Kg. Expo, Kamunting, Perak bersama suami tercinta dan 3 orang anak yang semuanya lelaki. Semoga walaupun beliau jauh di mata, namun tetap dekat di hati warga SK Jelai terutamanya anak - anak didik beliau sepanjang beliau berada di sekolah ini.

TERIMA KASIH, CIKGU ! SELAMAT TINGGAL, CIKGU FAIZA HUSSIN !

No comments:

Post a Comment